Aktiviti Utama Pertubuhan Sepanjang Tahun 2022-2025
Untuk sepanjang 2022 sehingga 2025, PGSM telah terlibat dengan aktiviti-aktiviti untuk masyarakat, ahli-ahli, seluruh Peguam Syarie, dan Pelatih Dalam Kamar sebagaimana berikut:
Merealisasikan Akta Profesion Guaman Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (Akta 814)
PGSM terlibat secara langsung dalam menderaf dan menggubal Akta Profesion Guaman Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan pada 2019 dan dengan menubuhkan Jawatankuasa Akta Guaman Syarie. Presiden PGSM telah mempengerusikan Kluster Hal Ehwal Peguam Syarie, Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sehingga Akta ini dibentangkan di Parlimen dan dikuatkuasakan pada 2022. Presiden PGSM Tuan Musa Bin Awang telah dipilih sebagai Timbalan Presiden/Timbalan Pengerusi Majlis Peguam Syarie WWP yang pertama pada 2022 hingga 2024.
Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS)
Pada Jun 2022, PGSM telah menggerakkan dan menjalankan Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) bagi menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada kumpulan sasar golongan B40/M40 yang tidak mampu membayar kos melantik peguam untuk memberikan khidmat konsultasi dan mewakili mereka bagi membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah di seluruh negara. Sehingga 31 Disember 2023, seramai 594 orang golongan sasar telah menerima bantuan BAGUS.
Program Kasih Ibu Tunggal JPW
Sejak 2022, PGSM telah menjalankan program Kasih Ibu Tunggal (Kemahiran Perundangan) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Putajaya. Pertama kali program ini diadakan di Kuala Lumpur. Pada 2023, program Kasih Ibu Tunggal diadakan di Kuching Sarawak.
Program KasihnITa – JPW
Program Kasih Ibu Tunggal telah dijenamakan semula dengan nama Program KasihnITa (Kemahiran Perundangan) pada tahun 2025, di mana program ini telah diadakan di enam (6) zon di seluruh negara melibatkan Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Utara, Zon Timur, Zon Sabah dan Zon Sarawak, yang melibatkan penyertaan seramai lebih 300 orang ibu tunggal di seluruh negara.
Program Bantuan Guaman KasihnITa – JPW (BANGKIT)
Peserta Program KasihnITa (Kemahiran Perundangan) yang memerlukan khidmat sokongan bantuan guaman (syariah dan sivil) telah dibantu di bawah program Bantuan Guaman KasihnITa (BANGKIT). Pada tahun 2025, seramai 85 orang ibu tunggal (Islam dan bukan Islam) telah menerima bantuan guaman syariah dan sivil.
Program Literasi Undang-Undang Syariah (LUS)
PGSM telah mengadakan program Literasi Undang-Undang Syariah kepada masyarakat awam samada secara fizikal dan secara atas talian, yang melibatkan kupasan berkaitan undang-undang syariah seperti harta sepencarian, faraid, hak jagaan anak (hadhanah) dan lain-lain. Pada 2022 dan 2023, siri-siri jelajah program literasi undang-undang syariah ini telah diadakan di seluruh negara.
Program Klinik Guaman Syariah (KGS)
PGSM telah mengadakan program Klinik Guaman Syarie (KGS) secara percuma kepada masyarakat Islam, bertempat di Bilik BAGUS-PGSM di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan di booth KGS yang diadakan sepanjang program jelajah Literasi Undang-Undang Syariah yang telah diadakan. PGSM juga turut membuka booth KGS di program-program yang diadakan oleh agensi-agensi Kerajaan seperti JPW, JBG, JKSM dll. KGS juga telah diadakan dengan kerjasama Universiti Malaya Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Islam Selangor (UIS) ; serta Universiti Teknolgi Malaysia (UTM) oleh PGSM Johor, dan sebagainya.
Program Latihan dan Pembelajaran Secara Berterusan kepada Peguam Syarie/Pelatih Dalam Kamar
Program latihan dan pembelajaran secara berterusan kepada Peguam Syarie dan/atau Pelatih Dalam Kamar dalam bentuk kelas, bengkel atau seminar diadakan secara konsisten sepanjang tahun, samada yang melibatkan tatacara mal, tatacara jenayah, kelas tafaqquh fi ad-din, skil advokasi, pemahaman arahan amalan, bengkel penulisan, pemahaman faraid, pusaka, penyediaan dokumen hibah/wasiat, dan isu-isu semasa Mahkamah Syariah (contoh – isu bangkrap, KWSP, saham, syarikat, NLC dll.)
Program Sukan, Riadah dan Aktiviti Luar
PGSM tidak lupa mengadakan program sukan, riadah dan aktiviti luar. Pada 2024, Sukan Peguam Syarie (SUKPES) telah diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, yang melibatkan penyertaan dari seluruh negara. Di samping itu, program riadah dan aktiviti luar di adakan dari semasa ke semasa, termasuk rombongan ke luar negara seperti Acheh, Thailand dan sebagainya.
Penerbitan PGSM
Sehingga 2025, PGSM telah berjaya menerbitkan dua (2) buah buku akademik iaitu buku Seni Guaman Syarie – Panduan dan Amalan Siri 1 yang telah diulang cetak sebanyak 3 kali; dan buku Hak Jagaan Anak (Hadhanah): Dari Kacamata Syarak dan Undang-Undang.
Penglibatan Dalam Reformasi Undang-Undang dan Institusi
PGSM telah terlibat secara langsung dalam usaha reformasi undang-undang dan institusi di peringkat nasional dan di peringkat negeri. Di peringkat pusat, Presiden PGSM telah dilantik sebagai Jawatankuasa Task Force Penguatkuasaan Isu-isu Agama di Media Sosial (2022); Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia (2022-2026); Jawatankuasa Induk Arahan Amalan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) (2012-2026); Jawatankuasa Penasihat Jurnal Hukum, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) (2019-2026); Pasukan Petugas (Task Force) Bagi Pindaan Kepada Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 – Akta 559 (2023); Jawatankuasa Khas Untuk Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia (2024); dan lain-lain jawatankuasa di peringkat pusat dan negeri. Timbalan Presiden PGSM dan AJK PGSM juga terlibat dalam pelbagai Jawatankuasa di peringkat pusat dan negeri.
Penglibatan Dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)
PGSM terlibat secara langsung sebagai Ahli Lembaga Pengarah YBGK sejak 2012 sehingga sekarang, dalam mengendalikan bantuan guaman dalam kes-kes kesalahan jenayah syariah.