Usaha pendekkan tempoh penyelesaian kes syariah

Kuala Lumpur: Semua pihak yang menguatkuasakan undang-undang syariah, digesa berusaha memendekkan tempoh penyelesaian suatu kes yang dikendalikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tempoh menunggu lama penyelesaian sesuatu kes dibimbangi akan menimbulkan kezaliman kepada sesuatu pihak.

“Lagi panjang kes itu berlanjutan, ia akan menyebabkan kezaliman kepada pihak-pihak berkaitan.

“Janganlah ada usaha untuk melambat-lambatkan penyelesaian kes sebab yang akan teraniaya ialah pihak-pihak itu (terbabit langsung dalam sesuatu kes),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Bantuan Konsultasi Guaman Syarie Percuma Sempena Ramadhan Al Mubarak 1444H, di Kompleks Mahkamah Syariah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang.

Mohd Na’im berkata, pihak seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mahkamah syariah dan peguam syarie perlu memainkan peranan serta mencari idea untuk mempercepatkan tempoh masa perbicaraan,

“Pengembelengan kerjasama semua pihak, mahkamahnya, peguamnya memastikan ada matlamat yang sama, tetapi dalam masa sama tidak memprejudis keadilan itu.

“Jadi kena pandai imbangkan antara bagaimana nak mempercepatkan kes tapi dalam masa sama tidak memprejudiskan isu keadilan,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu peningkatan kos haji dan umrah, beliau berkata akan ada pengumuman berkenaan perkara itu kelak.

Sementara itu, Musa berkata program konsultasi guaman syarie percuma adalah khidmat perundingan percuma kepada pihak yang berurusan dengan Mahkamah Syariah, khusunya golongan B40.

“Matlamat program itu adalah untuk memastikan semua umat Islam di negara ini mendapat akses kepada keadilan walaupun mereka terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.

“Ia juga bagi menjalankan sebahagian khidmat PGSM kepada masyarakat Islam sesuai dengan kepakaran yang dimiliki oleh ahli-ahli PGSM yang merupakan peguam syarie yang bertauliah,” katanya.

Sumber: bharian.com.my