Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
  • Muzakarah.jpg
  • pimpinan.JPG
  • PPSNK.jpg
  • Tea tarik.jpg
LATEST ARTICLES & ACTIVITIES
Tarikh Aktiviti Friday, 18 April 2014
Tempat Residence Hotel, UNITEN, Bangi

Tarikh Artikel Wednesday, 16 April 2014

Rabu, 16 April 2014

bersamaan 16 Rabiulakhir 1435H

 

KENYATAAN MEDIA

BERHUBUNG ISU PEREBUTAN ANAK

AKIBAT SALAH SATU PIHAK MASUK ISLAM

 

Berhubung kes perebutan anak antara Deepa vs Izwan Abdullah akibat salah seorang masuk Islam, DAN kenyataan sesetengah pihak bahawa mahkamah sivil hendaklah dibenarkan untuk mendengar dan memutuskan perkara tersebut.

 

MAKA, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-

 

  1. PGSM TIDAK BERSETUJU dengan cadangan supaya mahkamah sivil mendengar dan memutuskan hak tuntutan hak jagaan anak bagi seseorang yang telah memeluk Islam.

 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.

 Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

 

  1. PGSM MENEGASKAN bahawa dalam isu Deepa vs Izwan Abdullah ini, polemik dan salah faham berlaku kerana Mahkamah Tiinggi (sivil) Seremban telah mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April 2014 sedangkan Mahkamah Syariah Seremban telah pun mengeluarkan perintah yang sama pada tahun lepas lagi, iaitu pada 19 Mac 2013, dan perintah mahkamah syariah tersebut tidak pernah dibatalkan. Perintah mahkamah syariah tersebut memberikan hak jagaan kedua anak kepada bapa kandung mereka manakala ibu kandung diberikan hak lawatan pada bila-bila masa yang munasabah.

 

  1. PGSM MENEGASKAN bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak melampaui atau mengatasi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah kerana Perkara 121 (1A) Perlembagaam Persekutuan telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil.

 

  1. PGSM BERPANDANGAN bahawa masalah berlaku kerana mahkamah sivil tetap mendengar dan memutuskan perkara yang sama walaupun telah ada satu keputusan dibuat di mahkamah syariah, menyebabkan adanya dua perintah berjalan serentak. Jika mahkamah sivil mengambil pendirian tidak masuk campur dengan perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah tersebut, perkara ini tidak akan berlaku.

 

  1. Untuk menyelesaikan masalah ini, PGSM MENGGESA supaya Ketua Hakim Negara dapat mengeluarkan Pekeliling kepada semua Hakim-hakim mahkamah sivil agar tidak mendengar atau memutuskan apa-apa perkara yang telah pun diputuskan oleh mahkamah syariah. Dengan adanya arahan tersebut, masalah dan isu ini dapat diselesaikan.

  

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

 Musa~

(MUSA AWANG, P.P.N)

Presiden

 

 

Tarikh Artikel Thursday, 20 February 2014

Rabu, 20 Februari 2014

bersamaan 20 Rabiulakhir 1434H

 

KENYATAAN MEDIA

BERHUBUNG KENYATAAN DR. KASSIM AHMAD

 

Berhubung kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh Dr Kassim Ahmad dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" Ahad lalu, yang antara lainnya,

 

-         Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

-         Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

-         Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

-         Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

-         Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

-         Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

 

MAKA, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-

 

  1. PGSM menyokong pendirian JAKIM dan NGO-NGO Islam lain bahawa pemikiran dan kenyataan Kassim Ahmad tersebut adalah salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia, boleh menyesatkan akidah umat Islam, menggugat ketenteraman dan menimbulkan keresahan awam.

 

  1. Dr Kassim Ahmad bukanlah ulama’ atau orang yang layak untuk mempertikaikan hukum yang telah disepakati oleh ulama’ terdahulu dan juga bukanlah seorang yang layak mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 

  1. Hadith adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur’an berdasarkan ijma’ ulama. Hadith juga adalah sumber kedua yang digunakan dalam memutuskan kes-kes di Mahkamah Syariah di Malaysia dan seluruh dunia.

 

  1. PGSM menggesa pihak-pihak berkuasa membuat siasatan dan ambil tindakan sewajarnya termasuk mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah sivil atau Mahkamah Syariah, kerana PGSM khuatir jika perkara ini tidak dibendung, selepas ini akan ada pula orang mempertikaikan penulisan al-Quran, kerana a-Quran hanya ditulis selepas kewafatan Nabi SAW dan mereka mungkin mendakwa penulis al-Quran bukan menulis al-Quran yang sebenar. Dr Kassim Ahmad telah mencabar undang-undang sejak 1980-an lagi. Pihak berkuasa tidak perlu menunggu lagi 10 tahun untuk mengambil tindakan. Beliau merasakan beliau betul kerana tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya selama ini.

 

  1. PGSM juga menggesa tindakan diambil terhadap pengikut-pengikut dan orang yang bersubahat dengan fahaman ini termasuk orang yang membantu dan memberi ruang untuk mereka menyebarkan fahaman tersebut kepada masyarakat.

 

  1. Pada masa sama, PGSM menggesa pihak kerajaan melalui JAKIM dan Jabatan Agama Islam mengadakan dialog tertutup dengan Dr Kassim Ahmad dan pihak-pihak lain yang sepemikiran dengannya, bagi memberikan penjelasan dan memperbetulkan pemikiran yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Mereka harus ditarbiah dan diperbetulkan fahaman mereka dengan ilmu dan pendidikan.

 

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Musa~

(MUSA AWANG, P.P.N)

Presiden