Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
LATEST ARTICLES & ACTIVITIES

Berita Harian, Peguam Syarie Menulis Rabu 27 Mac 2013

Musa Awang

Pakai lencana pengenalan elak penyamaran perdaya orang ramai

 

Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah menjalankan tugas yang pernah dijalankan oleh sahabat Nabi SAW. Saidina Ali pernah membantu Khalifah Umar membuat keputusan yang betul dalam kes seorang wanita datang kepada Khalifah Umar dan membuat ikrar telah melakukan zina. 

 

Melalui peranan dimainkan oleh Saidina Ali, Khalifah Umar telah membebaskan wanita itu, yang sebenarnya telah diperkosa sebagai balasan sedikit susu yang diminta daripada seorang lelaki dalam keadaan beliau terlalu dahaga.

 

Saidina Ali juga pernah menjadi peguam dalam kes seorang perempuan yang menuduh seorang pemuda cuba mencabul kehormatannya dengan mendakwa ada kesan air mani di tubuh serta di atas kainnya.

 

Saidina Ali telah menyiram air mendidih kepada kesan cecair atas kain perempuan itu dan cecair berkenaan menjadi beku serta putih seperti putih telur. Akhirnya perempuan berkenaan mengaku perbuatan tipu dayanya untuk mengenakan pemuda itu.

 

Abdullah bin Ja’far pernah menjadi peguam kepada Ali bin Abi Talib dengan Talhah bin Ubaidullah pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas pernah menjadi peguam kepada Hassan bin Thabit, (seorang penyair terkenal pada zaman Nabi SAW).

 

Walaupun Hassan seorang penyair, dia tidak mahir berhujah dalam perbicaraan. Ibnu Abbas sebagai seorang yang faqih dan petah berhujah telah bertindak sebagai peguam membela Hassan.

 

Lencana Sahabat Mahkamah Syariah

Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada undang-undang, bukan semata-mata mencari rezeki. Kewujudan dan fungsi peguam syarie diiktiraf dan disebut dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

 

Seksyen 59 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 menyebutkan majlis boleh menerima sesiapa yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hukum syarak menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Syariah.

 

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, pada 18 Mac lalu sebagai simbolik hubungan peguam syarie membantu Hakim Syarie membuat keputusan adil, cepat, betul dan tepat berdasarkan hukum syarak serta undang-undang.

 

Sahabat adalah orang yang merasa bertanggungjawab terhadap satu sama lain, walaupun tidak memiliki hubungan darah. Sahabat bukan adik-beradik, tetapi berupaya mewujudkan hubungan persaudaraan seperti adik-beradik.

 

Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan antara satu sama lain. Sahabat juga membantu apabila berada dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan bersama.

 

Sahabat seorang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban, sentiasa melindungi dan semangat mereka sentiasa bersama. Sahabat membuatkan seseorang berasa selamat apabila mereka bersama. Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat sama, tetapi mereka saling memerlukan.

 

Diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.”

 

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) adalah salah satu usaha menjadikan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.

 

Lencana itu akan dipakai oleh peguam syarie ketika berurusan di Mahkamah Syariah, sebagai satu simbolik pengiktirafan peranan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.

 

Pupuk hubungan baik

Lencana itu juga bertujuan memupuk serta meneruskan hubungan baik berpanjangan antara peguam syarie dengan Mahkamah Syariah, di samping memudahkan orang awam mengenali peguam syarie bagi mencegah berlakunya penyamaran oleh orang tidak berkelayakan.

 

Hubungan baik antara peguam syarie dan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan, diiktiraf serta dihormati oleh semua pihak sama ada dari pihak Mahkamah Syariah sendiri dan kalangan peguam syarie.

 

Peguam syarie serta kakitangan mahkamah berada dalam satu barisan dan tujuan yang sama untuk menjadikan Mahkamah Syariah sebagai institusi dipandang tinggi serta dihormati masyarakat.

 

Jika ada kekurangan di pihak peguam syarie, ia wajar ditegur dengan cara berhemah dan berhikmah, bukan memperlekehkan, memperkecilkan, memalukan atau menjatuhkan maruah mereka di hadapan pelanggan.

 

Begitu juga peguam syarie, jika ada sebarang kekurangan di pihak mahkamah, aduan perlu disalurkan melalui saluran yang betul kepada Mahkamah Syariah. Menceritakan mengenai kes Mahkamah Syariah dan tindakan hakim laman sosial akan mengundang masalah seperti mengundang komen dan perbahasan kalangan mereka yang tidak faham serta mahir mengenai undang-undang.

 

Sedar atau tidak, tindakan segelintir hakim dan peguam syarie itu secara tidak langsung telah menjatuhkan kredibiliti serta kewibawaan institusi Mahkamah Syariah, hakim syarie, peguam syarie dan memburukkan Islam.

-      

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 

 

SALAM SEJAHTERA RAKAN2 YANG BIJAKSANA

PERHATIAN.. PERHATIAN,,,,

KONVENSYEN PEGUAM SYARIE KALI KETIGA......

PADA : JUMAAT 18HB APRIL 2014 
MASA: 8.00 PAGI – 6.00 PETANG
TEMPAT: DEWAN MUSYTARI 
RHR (RESIDENCE) HOTEL @ UNITEN BANGI
JALAN KAJANG PUCHONG
43009 KAJANG

PENDAHULUAN

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan menganjurkan Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-3 yang akan diadakan di RHR (Residence) Hotel @ Uniten Bangi pada 18hb April 2014. Majlis yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tersebut akan mengundang beberapa Peguam Ulung, Pensyarah Pakar serta Pengarah dari Badan Kerajaan dari Malaysia hadir untuk mengadakan pembentangan kertas kerja dalam membincangkan isu-isu berkaitan Pentadbiran Harta Pusaka Orang Islam dan Perluasan Bidangkuasa Mahkamah Syariah.

SASARAN PESERTA

Lebih 200 orang peserta dibuka dari kalangan Peguam Syarie, Hakim-Hakim Syarie, Peguam Sivil, Pegawai-Pegawai Jabatan Agama Islam negeri-negeri, Pegawai Kaunselor, Ahli Akademik, agensi kerajaan yang berkaitan seperti JAKIM, JBG, Jabatan Peguam Negara, badan bukan kerajaan (NGO) serta Pensyarah/Pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta dan orang perseorangan

SENARAI PEMBENTANG DAN KERTAS KERJA

(i) Kertas Kerja 1.
Tajuk: “Surat Kuasa Mentadbir Harta Pesaka Orang Islam Di Mahkamah Syariah: Pengalaman Negeri Sabah”
Oleh: Y.A Datuk Aidi Bin Hj. Mokhtar, Hakim Rayuan, JKSM

(ii) Kertas Kerja 2
Tajuk: “Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka Orang Islam: Isu-Isu & Cabaran”
Oleh: Y.Bhg Dr Azmi Bin Harun, Pensyarah, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.

(iii) Kertas Kerja 3
Tajuk: “Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka Orang Islam: Prosfek di Mahkamah Syariah”
Oleh: Y.Bhg Prof. Dr Akmal Hidayah Halim, Pensyarah, Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (UIAM)

(iv) Kertas Kerja 4
Tajuk: “Perlaksanaan Hibah, Wasiat & Amanah: Perspektif Syariah, Undang-undang dan Pentadbiran”
Oleh: Y.Bhg Prof.Madya Dr Siti Mashitoh Binti Mahamood, Pensyarah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, UM

(v) Kertas Kerja 5
Tajuk: “Perlaksanaan Hibah, Wasiat & Amanah: Pengalaman, Isu & Masalah di PTG”
Oleh: Y.Bhg Datuk Haji Yahaya Bin Mohamad, Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan

- Majlis Forum

Tajuk: “PERLUASAN BIDANGKUASA MAHKAMAH SYARIAH : MENJADIKANNYA SUATU REALITI”

Ahli Panel:
1) Y.Bhg Dr Haji Mohd Naim Mokhtar - JKSM
2) Y.Bhg Dr Ariq Sanusi - Jabatan Peguam Negara
3) Y.Bhg Tuan Haji Hanif Kathri Abdulla - Peguambela/Peguamcara

Pembentangan Resolusi Konvensyen
Oleh: Tuan Musa bin Awang, Presiden, 
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

CARA PENYERTAAN PESERTA
Untuk penyertaan, bayaran yang dikenakan adalah RM 150.00 seorang. Bagi Pelajar dikenakan RM110.00 seorang. Pembayaran boleh dibuat melalui:-

1) Menerusi bank-in kepada FARIDAH AHMAD No. Akaun Maybank: 164258433310 atau;

2) Anda Juga Boleh Mendaftar Melalui SEKRETARIAT PGSM.

Sila hubungi:

Puan Suziyani Mat Jusoh di talian019-2278132... ATAU

Puan Lisa Suriany /Puan Maryam Jameelah (Bahagian pendaftaran)
Tel: 06-6323008 
Faks: 06-6323007

TARIKH TUTUP PENYERTAAN

Sebelum atau pada 10hb April 2014

 

AYUH SEGERA MENDAFTAR!!

Page 48 of 48