Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

BIDANGKUASA WALI DALAM PERNIKAHAN

Rate this item
(2 votes)
Read 225162 times

Oleh Tuan Moeis Basri,

Setiausaha Agung PGSM.

 

Di dalam sesebuah perkahwinan perlu kepada 5 rukun iaitu lelaki, perempuan, 2 orang saksi, lafaz ijab dan kabul serta wali. Jika kekurangan salah satu rukun yang disebutkan itu, maka sesuatu perkahwinan itu menjadi tidak sah. Salah satu isu yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat ialah bidang kuasa wali. Antara permasaalahan yang timbul berkaitan isu wali ialah kes  kahwin lari sama ada wali nasab tidak bersetuju dengan pilihan hati atau ingin berpoligami tanpa melalui saluran undang-undang di Malaysia, dipaksa berkahwin oleh wali dan berbagai lagi.

 

 

Wali membawa maksud teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Keperluan kepada wali dalam sesuatu perkahwinan adalah seperti di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga mereka beriman”

 

Di dalam sebuah hadith Nabi bersabda yang bermaksud:- “Dari Abi Musa r.a, Rasulullah bersabda: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”.

 

Syarat-syarat untuk melayakkan seseorang wali itu menjalankan tugasannya ialah orang itu mesti baligh, berakal, lelaki, adil dan merdeka. Oleh itu seorang perempuan, yang belum mencapai umur baligh, orang gila atau hamba tidak layak menjadi wali.

 

Wali adalah terdiri daripada ahli keluarga yang rapat daripada bapa, datuk sebelah bapa, adik beradik lelaki sehingga sepupu lelaki sebelah bapa mengikut susunan tertib dari yang paling dekat sehingga paling jauh dalam pertalian darah dengan pengantin perempuan dan sekiranya tiada wali dari golongan keluarga ini, maka wali raja atau sering disebut wali hakim akan menjadi wali kepada pengantin perempuan tersebut. Kelayakan seseorang menjadi wali adalah mengikut tertib iaitu jika tiada wali bapa maka berpindah kepada datuk dan jika tiada datuk sebelah bapa berpindah kepada adik beradik lelaki dan begitulah seterusnya yang bermaksud jika bapa pengantin perempuan masih hidup dan memenuhi syarat kelayakan sebagai wali maka saudara lelaki pengantin perempuan tersebut tidak boleh mewalikan pernikahan tersebut. Dan sekiranya tiada wali dari kalangan ahli keluarga tadi maka hak menjadi wali akan berpindah kepada wali hakim atau wali raja sebagaimana hadith Rasulullah diriwayatkan oleh Imam At-Tarmidzi dan Abu Daud yang bermaksud:- “Maka sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”.

 

Bagi wali yang teridiri daripada bapa kandung atau datuk sebelah bapa sehingga ke atas, mereka dikategorikan sebagai wali mujbir menurut mazhab Shafie. Wali mujbir bermaksud mereka ini mempunyai bidang kuasa untuk menikahkan pengantin perempuan iaitu anak atau cucu perempuan mereka itu yang masih perawan itu tanpa perlu meminta izin perempuan itu terlebih dahulu sebagaimana maksud  Hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Darul Qutni “Perempuan janda lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara dikahwinkan oleh bapanya”.

 

Bagi perempuan janda, sama ada wali itu mujbir atau bukan mukbir tidak berhak mengahwinkan perempuan tersebut tanpa mendapat keizinan perempuan tersebut. Nabi telah bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud :- “Perempuan janda diajak bermusyawarah tentang urusan dirinya, kemudian jika ia diam, maka itulah izinnya, tetapi jika dia menolak maka tiada paksa atas dirinya”.

 

Wali hakim pula ialah Sultan atau Raja yang beragama islam yang bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Oleh sebab Sultan atau Raja ini sibuk dengan tugas-tugas Negara, maka dalam keadaan semasa, tugas wali hakim ini diserahkan kepada Kadhi-Kadhi atau Pendaftar-Pendaftar Nikah di pejabat agama berkenaan untuk bertindak sebagai wali hakim.

 

Sebab-sebab yang membolehkan penggunaan wali Hakim ini ialah jika wali nasab tiada seperti contoh saudara baru yang mana bapa atau saudara lelakinya tiada yang telah memeluk agama islam. Dalam keadaan yang tertentu juga, bagi anak-anak yang tidak sah taraf atau anak luar nikah juga perlu menggunakan wali Hakim disebabkan bapa biologi anak tersebut walaupun masih hidup atau mungkin telah berkahwin dengan ibu pengantin perempuan tidak layak menjadi wali dan begitu juga datuk atau saudara lelaki dari sebelah bapa biologi tersebut. Dalam keadaan ini juga bagi anak-anak angkat, walaupun mungkin telah berdaftar dengan jabatan Pendaftaran Negara, hakikatnya bapa angkat tersebut tidak boleh menjadi wali.oleh iitu sama ada bapa kandung sebenar pengantin itu dicari untuk menjadi wali atau jika tidak dapat ditemui maka perlulah menggunakan wali hakim.

 

Wali hakim juga boleh digunakan sekiranya wali nasab enggan menjadi wali kepada pernikahan tersebut atau disebut sebagai wali enggan tanpa sebab yang munasabah sedangkan pilihan perempuan tersebut telah menepati hokum syarak. Melalui satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmidzi, nabi bersabda maksudnya:- “kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”.

 

Selain daripada itu, sekiranya wali-wali nasab yang ada tidak memenuhi syarat sebagai seorang wali sebagai contoh yang disebut di atas tadi iaitu sekiranya wali tersebut hilang kewarasan akal, tidak sampai umur baligh atau berada dalam ibadah umrah atau haji, wali hakim boleh digunakan.

 

Seharusnya, bagi mereka-mereka yang berhasrat untuk bernikah memahami keperluan kepada wali sebagai satu rukun di dalam nikah dan memastikan wali yang menikahkan pasangan itu memenuhi syarat dan kelayakan mengikut hukum syarak.

 

Adalah perlu diambil perhatian yang serius bahawa sekiranya syarat wali ini tidak dipatuhi secara betul, sesuatu pernikahan itu akan menjadi tidak sah dan hubungan pasangan tersebut akan menjadi satu hubungan zina sekiranya syarat kepada rukun ini dilanggari dengan penuh pengetahuan. Lanjutan daripada itu, anak-anak yang bakal lahir akan menjadi anak tidak sah taraf menurut hokum syarak dan akan merosakkan keturunan seterusnya, khususnya jika anak yang lahir itu perempuan dan diwalikan oleh bapa yang pada asalnya bukan wali yang sah mengikut hokum syarak.

 

Masalah ini juga akan memberi kesan kepada perkara lain di dalam urusan keluarga seperti kelayakan menerima harta faraidh atau harta pusaka.

 

Oleh itu diharap agar semua pihak tidak mengambil mudah dengan hokum dan syarat pernikahan seperti nikah lari sama ada menjalankan pernikahan melalui sindiket yang tidak bertauliah daripada Raja atau Sultan atau melarikan diri dan bernikah di Negara asing tanpa diketahui dengan jelas sama ada wali yang menikahkan pasangan tersebut menepati syarat untuk menjadi wali hakim.