Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel

KEWAJARAN TALAK DALAM ISLAM

Rate this item
(0 votes)
Read 189496 times
Tarikh Artikel: Friday, 26 March 2010
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES
Sumber: Utusan Malaysia

Tiada suatu yang Allah halalkan namun amat dibenci oleh-Nya melainkan talak. Cerai adalah perbuatan yang haram dari segi hukum. Namun sekiranya sudah terpaksa ekoran tiada lagi jalan keluar untuk menyelamatkan perkahwinan barulah halal hukumnya.

Sebaik sahaja talak dilafazkan bermakna terlerai sudah sebuah ikatan pernikahan.


Walaupun Islam memberikan kuasa kepada suami untuk menjatuhkan talak sehingga tiga kali, namun kategori yang paling wajar adalah talak rajie iaitu talak satu atau talak dua.


Ini kerana talak dalam kategori itu, masih terdapat ruang untuk suami kembali semula kepada isterinya, berbanding talak bain, iaitu talak tiga sekali gus.


Sementara talak tiga memberikan konotasi bahawa pintu hati suami telah tertutup rapat untuk menerima semula isterinya. Talak tiga mengundang bahaya kerana dikhuatiri suami akan menyesal yang tidak berkesudahan.


Ringkasnya, talak dan kata putus yang dimiliki oleh suami tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya dan perlu diimbangi dengan akal fikiran yang waras serta bebas daripada pengaruh, paksaan mahupun ugutan sesiapa.


Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang juga peguam berpengalaman luas dalam kes-kes cerai berpendapat, Islam memberikan hak kepada pasangan untuk bercerai apabila rumah tangga tidak boleh diselamatkan lagi.


Menurut Musa, ini jelas membuktikan keterbukaan Islam dalam menangani konflik yang timbul dengan memberikan ruang untuk menyelamatkan sesebuah institusi perkahwinan sungguhpun selepas berlaku perceraian.


Beliau berkata, berdasarkan syariat, Allah menetapkan satu tempoh idah selepas berlaku perceraian agar pasangan menilai kembali kesilapan masing-masing.


Apabila timbul penyesalan dalam diri ekoran keputusan yang dibuat dengan terburu-buru maka pasangan terbabit berpeluang menyambung semula ikatan menerusi proses rujuk.


Musa menjelaskan, biarpun suami ibaratnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan isteri dan yakin tidak ingin kembali lagi, namun Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 berfirman: ''Dan bergaullah dengan isteri kamu dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci (disebabkan tingkah lakunya), janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya. Kerana boleh jadi, kamu bencikan sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan perkara yang kamu benci itu, kebaikan yang banyak untuk kamu.''


Pada pandangan Musa, ayat itu jelas memberikan peringatan kepada suami agar jangan terburu-buru menceraikan isteri.


''Ia juga satu petunjuk bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh suami untuk mendidik dan mentarbiah isteri. Ini kerana, wanita dijadikan seperti bentuk tulang rusuk yang bengkok. Jika dibetulkan dengan kekerasan, nescaya tulang itu akan patah.


''Sungguhpun seseorang suami itu yakin bahawa dia tidak ingin kembali lagi kepada bekas isterinya, namun perceraian yang disyorkan adalah melalui talak rajie iaitu talak yang masih boleh dirujuk. Ini kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.


''Menjatuhkan talak tiga dengan satu kali lafaz, bererti menentang Allah dan menyimpang daripada tuntutan Islam yang lurus,'' jelas Musa.


Beliau berkata, memandangkan Islam mengharuskan perceraian secara talak rajie maka hakim syarie di Mahkamah Syariah berperanan memartabatkan syariat Islam.


Menurut beliau, mahkamah tidak akan membenarkan suami menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus, kerana ia tidak mengikut syariat Islam.


Jelas Musa, sekiranya suami tetap memilih talak tiga biarpun setelah dinasihati oleh hakim syarie, maka dia telah melakukan kesalahan kerana menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah (walaupun dilakukan di hadapan hakim syarie).


Apabila kesalahan itu dilakukan di mahkamah, maka hakim boleh mengambil tindakan menurut undang-undang jenayah Islam. Ia bersesuaian dengan ketetapan yang dibuat bahawa lafaz talak perlu mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu sebelum ia diucapkan.


Berlainan pula sekiranya perceraian berlaku di luar mahkamah dan kes dirujuk untuk mendapatkan pengesahan. Dalam situasi tersebut, ujar Musa, hakim syarie perlu meneliti rukun-rukun lafaz talak dan mengesahkannya menurut syarak.


''Lafaz talak di luar mahkamah perlu disahkan sama ada oleh suami ataupun isteri. Tidak pula terdapat dalam peruntukan bahawa seseorang yang bukan pasangan suami isteri atau pihak ketiga mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mendaftarkan permohonan pengesahan perceraian meskipun mendakwa mendengar lafaz talak tersebut dengan jelas,'' jelas Musa.


Bagaimanapun beliau berpendapat, dalam kes-kes tertentu mahkamah boleh melihat dari sudut pandangan hukum syarak untuk mengesahkan sesuatu perceraian yang didakwa didengar oleh pihak ketiga.


Misalnya kata Musa, dalam kes membabitkan pengesahan penerima pusaka: ''Sekiranya suami atau isteri telah bercerai sebelum salah satu pihak meninggal dunia maka mahkamah boleh mengesahkan perceraian mereka terlebih dahulu yang dikatakan didengar oleh pihak ketiga sebelum membuat perintah pembahagian faraid tersebut.''


Islam telah menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tiada pihak yang teraniaya. Malah setiap negeri di Malaysia menggunakan enakmen atau undang-undang keluarga Islam masing-masing.


Misalnya, Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor menyatakan: ''Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai perlulah menyerahkan satu permohonan untuk perceraian kepada mahkamah dalam borang yang ditetapkan dengan dilengkapi segala butiran perkahwinan.''


Butiran lengkap diperlukan bagi memastikan pasangan suami isteri yang bersengketa memikirkan semasak-masaknya keputusan yang telah dibuat.
Selain itu, ia juga dapat mengelakkan pasangan daripada meremehkan talak, di samping memudahkan isteri menuntut hak-hak selepas bercerai ataupun apabila mereka ingin berkahwin lain selepas tamat tempoh idah.


This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.